Genap seminggu saya menulis tentang perkembangan terbaru Covid 19. Minggu lepas dan minggu minggu akan datang ini, saya agak sibuk sedikit kerana hendak menyiapkankan 3 buku terbaru yang akan diterbitkan tidak lama lagi iaitu:
- Handbook bedside procedures, investigations and imaging
- Symptoms based competencies, differential diagnosis and common chronic disease approach in Internal Medicine
- Concise textbook of Internal Medicine, by Dr Nizam
Buku-buku ini lebih kepada pelajar perubatan yang memasuki fasa klinikal (Clinical years). Insya Allah saya akan mengeluarkan sebuah buku bertajuk Ensiklopedia 100 Penyakit di Malaysia apabila ketiga-tiga buku di atas siap diterbitkan.
Berbalik kepada Covid 19, boleh dikatakan kesemua negara telah memberikan ubat anti-malaria iaitu samada hydroxychloroquine (HCQ) atau chloroquine (CQ) ke atas pesakit Covid 19nya. Negara kita juga telah memasukkan HCQ di dalam garis panduan rawatan Covid 19 walaupun sebenarnya keberkesanan ubat ini masih lagi tidak dibuktikan oleh kajian klinikal (clinical trial)
Akhirnya, pada 7.5.2020, majalah perubatan NEJM telah mengeluarkan satu artikel mengenai keberkesanan HCQ melalui satu kajian pemerhatian (observational study) yang dilakukan di New York, Amerika Syarikat oleh Geleris et al. Sebanyak 1376 pesakit telah diteliti perkembangan mereka sejak hari pertama dimasukkan ke hospital disebabkan oleh Covid 19. Matlamatnya adalah untuk mengetahui keberkesanan HCQ dan seramai mana pesakit yang mati atau memerlukan bantuan pernafasan dikalangan pesakit yang menerima HCQ atau tidak.
Selepas mengikuti perkembangan setiap pesakit tersebut, sejumlah 58.9% daripada mereka telah menerima HCQ dalam masa 48 jam selepas kemasaukan ke hospital. Melalui kajian Multivariate regression analysis, mereka mendapati tiada perbezaaan diantara pesakit yang menerima HCQ dengan pesakit yang tidak menerima HCQ dari segi kematian dan yang memerlukan bantuan pernafasan. Kajian multivariate seterusnya mendapati pesakit berisiko tinggi adalah sebenarnya dikalangan orang tua, obese, mempunyai sejarah kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang dan yang mempunyai inflammatory markers yang tinggi seperi CRP,D-Dimer dan cardiac marker.
Setelah mengambil kira kajian di atas, mereka menyarankan agar HCQ tidak disokong penggunaannya bagi pesakit Covid 19. HCQ hanya boleh diberikan untuk pesakit-pesakit yang bersetuju untuk menjadi subjek dalam kajian klinikal trial bagi mengetahui keberkesanannya sahaja.
Diharap Kementerian Kesihatan Malaysia dapat juga mengeluarkan satu kajian penelitian (observational study) sama seperti yang dilakukan oleh professor-professor di New York bagi menentukan keberkesanan HCQ di Malaysia pula. Mungkin kajian kita berbeza dengan mereka kerana case fatality rate (kadar kematian) Covid 19 di Malaysia jauh lebih rendah dari USA sendiri sedangkan jika dibandingkan kelengkapan teknologi perubatan Malaysia dan USA sendiri seperti langit dan bumi. Mesti ada sesuatu rahsia di Malaysia yang boleh kita pelajari bagaimana negara kita dapat menangani covid 19 dengan lebih baik dari USA dan negara Eropah umumnya. Apakah faktor Geology 400 north latitude atau keberkatan dari Allah.
Dr Nizam
Senior consultant physician