Covid 19 (Remdesivir)

Turtle, Redang Island, Malaysia

Remdesivir – satu harapan baru

Beberapa kajian telah dilakukan untuk menentukan apakah ubat yang paling sesuai digunakan untuk Covid 19. Antara ubat yang digunakan adalah ubat anti-malaria seperti chloroquine and hydroxychloroquine. Kajian di dalam makmal (In-Vitro) terhadap ubat ini memang menggalakkan tetapi untuk mengetahui keberkesanan sebenarnya, ubat-ubat ini mestilah melalui kajian klinikal ke atas pesakit Covid 19 yang sebenar. Cuma sehingga kini, hanya terdapat kajian-kajian kecil mengenai keberkesanan ubat anti-malaria ke atas pesakit Covid 19 secara klinikal. Keputusannya juga berbeza-beza dimana ada yang mengatakan ianya berkesan dan juga ada yang mengatakan sebaliknya. Majalah-majalah perubatan yang diperakui dunia seperti, New England Medical Journal (NEJM), The Lancet, British Medical Journal (BMJ), JAMA dan sebagainya masih lagi membisu tentang keberkesanannya.

Walau bagaimanapun, hari ini 11 April 2020, satu keputusan kajian preliminary telah di dikeluarkan oleh pakar perubatan dan telah diterbitkan di dalam journal perubatan NEJM. Ianya berkenaan ubat Remdesivir dalam perawatan Covid 19. Remdesivir adalah satu ubat anti viral yang dikenali sebagai nucleotide analog prodrug. Bahasa mudahnya, ubat ini seakan akan sama dengan salah satu nucleotid dalam pembentukan DNA iaitu Adenosine. Jadi, ianya dikenali sebagai Adenosine analog. Prinsipnya mudah, sepatutnya bila virus memasuki cell pesakit, virus ini akan mencari Adenosine badan pesakit untuk pemanjangan dan seterusnya untuk membentuk virus baru. Tetapi jika virus tersebut terpilih adenosine yang palsu iaitu ubat remdesivir, ia seterusnya merencatkan pemanjangan virus tersebut dan pembentukan virus baru akan terhenti. Pesakit akan sembuh dari jangkitan penyakit tersebut.

Kajian mengenai Remdesivir telah dilakukan ke atas 53 pesakit Covid 19 di seluruh dunia, 22 orang dari negara USA, 22 orang di Eropah dan Kanada dan selebihnya di Jepun. Pesakit Covid yang dipilih adalah dikalangan yang teruk dimana mereka memerlukan Oksigen (SPO2 < 94%). Mereka diberikan ubat remdisivir secara suntikan intravena 200 mg pada hari pertama dan 100 mg pada hari berikutnya sehingga 10 hari. Pesakit-pesakit ini kemudiannya dilakukan follow-up berkala sehingga 18 hari untuk mengetahui kesan samping dari ubat tersebut.

Keputusannya agak menggalakkan. 68% tidak lagi memerlukan oksigen, dan kadar kematian diturunkan kepada 13% sahaja dikalangan pesakit yang memerlukan Oksigen, jika dibandingkan dengasn 22% jika tidak diberi apa-apa ubat ataupun diberi ubat Kaletra (daripada kajian yang terdahulu). Kajian statistic menggunakan Kaplan Meier analysis mendapati “hazard ratio” menjadi hanya 0.29 dengan 95% “Confident interval” dikalangan pesakit berumur 50 tahun kebawah berbanding berumur 70 tahun ke atas. Cuma kelemahan kajian ini adalah sample size terlalu kecil dan mereka tidak mengukur “viral load” setiap pesakit sebelum, semasa dan selepas ubat ini diberi.

Alhamdulillah. Akhirnya ada juga cahaya di hujung terowong. Mudah mudahan ubat Remdesivir dapat membantu dalam menangani wabak Covid 19 ini. Kajian yang lebih besar sedang dijalankan untuk mengetahui kesannya dengan lebih lanjut. Diharap pihak KKM dapat menyediakan ubat ini secepat mungkin kepada para pesakit Covid 19 kita.

Sekian dahulu dari saya.  Sehingga berjumpa lagi.

Dr Nizam

Senior consultant physician