COVID 19 (Apa sesudah PKP 14.4.2020)

40 Degrees north latitude

Berpijak di bumi nyata

Perintah Kawalan Keselamatan yang dijalankan di Malaysia dikatakan berjaya mengurangkan jumlah pesakit Covid 19 di Malaysia. Dari satu segi, ianya bermanafaat tetapi pada masa yang sama, ekonomi Malaysia terjejas teruk sehinggakan kerajaan terpaksa membelanjakan sehingga RM 260 Billion untuk menampung kejatuhan ekonomi bagi tempoh 4 minggu tersebut sahaja. Ini baru 4 minggu PKP dijalankan. Ekonomi Malaysia dikatakan akan pulih sepenuhnya hanya dalam jangkamasa 6 bulan selepas itu, itupun jika penyakit Covid 19 dapat diatasi di peringkat global.

Kerajaan Malaysia perlulah berpijak di bumi nyata. Kita perlu menerima hakikat bahawa negara kita Malaysia bukanlah sebuah negara yang kaya raya dimana kerajaan mampu untuk menampung setiap rakyat walaupun mereka tidak bekerja. Terlalu banyak akibatanya akan ditanggung termasuklah pemotongan dan perberhentian pekerja, syarikat-syarikat yang tewas dan kerajaan sendiri terkesan dengan putusnya punca pendapatan. Nak tak nak, selepas 14.4.2020, perintah PKP hendaklah ditamatkan dengan perbagai langkah secara berhati-hati.

Jika diperhatikan, negara-negara yang teruk dilanda wabak Covid 19 ini adalah negara-negara yang berada di garisan Latitude 400 Utara seperti China, Spain, Itali, US, Iran, Korea, Jepun, Turkey, France dan kebanyakkan negara-negara Eropah. Betul !!! Negara-negara lain termasuk Malaysia juga terkena wabak Covid 19 ini tetapi tidaklah seteruk negara di garisan Latitude 400 Utara. Kalau dibandingkan kemudahan perubatan negara Eropah dan US dengan Malaysia, seperti langit dan bumi tetapi Alhamdulillah kes kita tidaklah seteruk mereka. Kita mungkin lebih bernasib baik sahaja disebabkan kedudukan geografi kita, tapi apa salahnya kita mengambl kesempatan dengannya dengan menamatkan PKP tersebut bersama dengan beberapa langkah keselamatan.  

Antara langkah-langkah yang perlu diambil kerajaan adalah seperti:

  1. Mewajibkan seluruh rakyat Malaysia memakai topeng muka sebagai penghalang pertama (first line barrier). CDC Amerika juga mencadangakan setiap rakyat mereka memakai masks dimasa wabak ini. Ianya bukan sahaja dapat menghindari pesakit yang terkena Covid 19 menjangkiti orang berdekatannya secara tidak sedar tetapi juga dapat mengurangkan titisan kuman di udara dari menjangkiti seseorang. Paling baik adalah topeng muka N95 ataupun 3 ply surgical masks. Diharap kerajaan dapat menyediakan topeng-topeng muka ini secara percuma kepada setiap rakyat.
  2. Teruskan penjarakkan sosial yang di amalkan. Ini termasuklah penutupan sekolah-sekolah dan university sehingga wabak Covid 19 benar benar terkawal. Penutupan panggung wayang, restoran hanya dibenarkan “take away sahaja”, Gedung supermarket menghadkan kemasukan pelanggan pada setiap masa, sembahyang berjemaah termasuklah sembahyang Jumaat dilakukan secara sendiri dahulu, tiada majlis keramaian atau perkahwinan, pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi dan mesyuarat dijalankan secara atas talian sahaja (video conferencing). 
  3. PKP hanya diteruskan pada kawasan-kawasan merah sahaja untuk membendung wabak Covid dari merebak dari kluster tersebut. PKP juga dikenakan kepada warga tua yang berumur 65 tahun dan ke atas serta kanak kanak yang berumur 12 tahun dan kebawah dimana risiko dijangkiti amat tinggi.
  4. Teruskan perintah kuarantin ke atas setiap warga yang baru pulang dari luar negara sehingga 10 hari. Kuarantin 10 hari juga terpakai kepada PUI (person under investigation) bagi mengelakkan pesakit asymptomatic menjangkiti orang lain. Memadai 10 hari kuarantin dicadangkan berdasarkan kajian terbaru yang dikeluarkan oleh journal perubatan The Lancet seperti yang saya ceritakan dahulu.
  5. Mewujudkan “one stop fever clinic” dimana setiap pesakit yang demam, batuk dan sakit tekak akan terus ke klinik tersebut dimana ujian saringan Covid 19 dapat dilakukan dengan segera dan pesakit akan diletakkan sebagai PUI sehingga keputusan makmal diperolehi. Jika keputusan negative, barulah pesakit itu boleh berjumpa dengan doktor biasa dengan membawa surat akuan Covid 19 negative. Ianya bukan sahaja dapat menghindari pesakit menjangkiti orang lain jika terus pergi ke klinik biasa, tetapi pengawasan dan pengasingan dapat dilakukan dengan cepat dan tepat.
  6. Bagi petugas-petugas frontline pula, diharap meraka dapat diuji dengan Covid 19 antibody (IgG) kerana bayak kajian mengatakan jika seseorang telah mempunyai antibody di dalam darahnya, kebarangkalian beliau untuk mendapat penyakit yang sama adalah kurang. Petugas-petugas yang telah mempunyai antibody ini bolehlah diletakkan dibahagian hadapan menggantikan petugas yang masih tidak mempunyai Covid 19 antibody. Diharap ini dapat mengurangkan risiko petugas kesihatan dijangkiti Covid 19. Sekali lagi perlu diingatkan, ujian antibody IgG bukannya hendak mengesahkan seseorang mendapat Covid 19 tetapi lebih kepada surveillance yang seseorang telah immune dari dijangkiti Covid 19.

Banyak lagi cadangan yang boleh kita utarakan dan terserahlah kepada  pihak kerajaan untuk meneliti dan seterusnya mengikuti cadangan yang diberikan tersebut. Insya Allah, dengan perancangan yang teliti, PKP dapat ditamatkan, perniagaan dapat beroperasi seperti biasa dan ekonomi Malaysia akan lebih kukuh.

Dr Nizam

Senior Consultant Physician

COVID 19 (Pencegahan)

Gala Yuzawa Ski Area, Japan

Seperti yang dipesan oleh Perdana Menteri kita, Allah tidak akan membebankan seseorang jika tidak termampu olehnya. Allah juga menjanjikan dalam Surah Insyirah ayat 1- 8 dimana setiap kesulitan akan ada kemudahan. Insya Allah wabak ini akan reda juga suatu hari nanti. Itu janji Allah.

Memang diakui sehingga kini, terdapat beberapa jenis ubat yang telah digunakan untuk merawat virus Corona tetapi hasilnya masih lagi tidak memberangsangkan. Di antaranya adalah seperti Kaletra, Chloroquine, Hydroxychloroquine, Remdesivir, Avagan (Favipiravir), Serine Protease Inhibitor dan sebagainya. Saya akan menerangkan ubat-ubatan ini dengan lebih teliti pada masa-masa akan datang.

Untuk artikel kali ini, saya akan mencadangkan apakah langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh seseorang daripada jangkitan Covid 19. Bak kata pepatah, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Prinsip pencegahan ialah dengan menguatkan sistem imunisasi kita sendiri.

Pertama, sistem imunisasi kita perlukan tidur yang cukup iaitu di antara 6 hingga 8 jam untuk menjadi sempurna. Tidur yang kurang iaitu < 6 jam sehari menyebabkan badah menjadi letih dan lesu. Kajian mendapati bagi seseorang yang tidak cukup tidur, beliau lebih terdedah kepada jangkitan kuman.

Kekalkan berat badan yang ideal iaitu BMI di antara 19 hingga 24. Kajian kematian terhadap pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) mendapati, pesakit yang obese mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi berbanding pesakit yang kurus. Manakala, pesakit yang kurus kering pula yang BMI < 18 juga lebih mudah mendapat penyakit.

Bersukan 30 minit, 5 kali seminggu juga dapat menguatkan sistem imunisasi kita. Kita akan merasa lebih bertenaga apabila bersukan. Jika tidak dapat bersukan kerana Perintah Keluar Rumah (PKP), apa yang boleh dilakukan adalah menolong isteri menyapu dan vacuum rumah selama 30 minit, ataupun membersihkan bilik air ataupun tingkap rumah. Ini kerana tenaga yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti ini lebih kurang sama kalori pembakarannya dengan bersenam 30 minit. Selamat mencuba dan membantu isteri di rumah.

Seterusnya, makanlah makanan yang seimbang yang mengandungi 50% karbohidrat, 30% protein dan 20% lemak serta sedikit sayuran dan sehiris buah pada setiap hidangan. Jangan lupa juga untuk memperbanyakkan minum air. Terdapat kontroversi baru-baru ini dimana kenyataan yang mengatakan minum air suam dapat membunuh kuman Covid 19. Sebenarnya, ianya betul untuk rawatan kelegaan sakit tekak. Memang diakui di dalam Jurnal perubatan, salah satu kaedah untuk mengurangkan sakit tekak semasa demam selsema adalah dengan banyakkan meminum air. Logik sahaja sebenarnya dan saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Cuma virus Covid 19 adalah virus yang amat spesifik iaitu ia akan memasuki badan pesakit melalui receptor specific yang ada didalam badan kita iaitu receptor ACE 2. Receptor ACE 2 ini pula terdapat dengan banyaknya di dalam paru-paru kita daripada di tekak. Jadi tiada salahnya meminum air jika sakit tekak. 

Seterusnya, terdapat banyak kajian tentang pengambilan supplemen untuk menguatkan sistem tubuh dari jangkitan demam selsema. Bagi orang tua, pastikan kandungan kalsium dan vitamin D cukup dalam badan. Jika tidak cukup ambil lah suplemen kalsium sebanyak 1000 mg hingga 1200 mg sehari dengan meminum susu (mengikut sukatan yang disyorkan pada lebel setiap jenis susu) dan juga mengambil supplement vitamin D dalam dose 800 IU sehari. Bagi seseorang yang sihat pula, terdapat satu kajian Metanalysis yang dikeluarkan oleh British Medical Journal (BMJ)  mengatakan pengambilan Vitamin D pada dos yang rendah iaitu < 800 IU setiap hari dapat mengurangkan risiko jangkitan batuk selsema. Kita juga perlu terdedah pada matahari sekejap iaitu di antara 10 minit hingga 30 minit setiap hari (mengikut warna kulit) untuk mengaktifkan vitamin D di bawah kulit.

Dan yang terakhir bagi artikel kali ini, sentiasa lah berwuduk dan berkumur dengan air bila berwuduk kerana ini juga dapat mengurangkan risiko batuk selsema dan telah dibuktikan oleh Professor-Professor di Jepun dalam satu kajian scintifiknya. Dalam kajian tersebut mereka yang berkumur 3 kali sehari dapat mengurangkan risiko batuk selsema. Alhamdulillah, bagi orang Islam, walaupun disunatkan tetapi berkumurlah sekurang-kurangnya 5 kali sehari semasa berwuduk. Bukannya susah sangat pun. Bagi memasukkan sedikit air ke dalam rongga hidung sebelum menghembuskannya keluar seperti disunatkan di dalam Wuduk, setakat ini tiada lagi kajian scientifik dilakukan. Bagi sayalah, prinsip yang mudah adalah jika ianya disunatkan di dalam Islam, maka mestilah terdapat kelebihan di sebaliknya yang para scientis tidak mengkajinya lagi.

Semoga berjumpa lagi di update yang akan datang.

Dr Nizam

Senior Consultant Physician, Poliklinik Pakar Marissa

Bandar Baru Bangi