COVID 19

Tulips, Disneyland Tokyo, Japan

Assalamualaikum semua. InsyaAllah bermula hari ini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak tentang isu-isu penyakit semasa di dalam web Poliklinik Pakar Marissa untuk pengetahuan para pembaca. Saya akan menggunakan bahasa ibunda kita iaitu Bahasa Melayu untuk memudahkan pemahaman kita semua. Saya akan memulakan dengan tajuk Covid 19

COVID 19 adalah satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Penyakitnya dinamakan COVID 19 dan virus yang menyebabkannya dikenali sebagai SARS CoV2 virus. Ianya dikatakan berasal dari pasar hidupan liar di Wuhan, China. Kuman ini sebenarnya sejenis kuman zoonosis iaitu dari kelawar dan kemudiannnya  menjangkiti manusia. Sebab itulah Islam melarang memakan makanan yang diharamkan seperti di dalam surah Al Toha ayat ke 81.

Masalah dengan penyakit COVID 19 ini adalah, ianya senang merebak dan boleh menyebabkan kematian. Malah, ramai doktor dan kakitangan perubatan menemui ajal semasa menjalankan tugas mereka untuk menyelamatkan pesakit COVID 19. Sehingga kini, tiada lagi ubat yang khusus mahu pun vaksin bagi merawatnya.

Virus Corona ini menjangkiti seseorang melalui titisan di udara apabila seseorang pesakit bercakap, batuk atau bersin. Disebabkan virus ini saiznya besar sedikit jika dibandingkan dengan virus-virus lain, ianya hanya dapat terapung apung di udara sejauh 1.5 meter dari pesakit tesebut selama 4 jam. Kemudian, ianya akan jatuh ke tanah atau lantai.

Jangkamasa inkubasi atau ‘incubation period’ adalah jangkamasa seseorang mendapat tanda-tanda klinikal selepas terdedah kepada pesakit. Bagi COVID 19, mengikut majalah perubatan The Lancet (Infectious disease pada 2 April 2020), jangkamasa inkubasi adalah selama 2 hari sehingga 11 hari. Paling ramai pesakit menunjukkan symptom adalah pada hari yang ke 5 selepas terdedah, dan 98% daripada pesakit yang dijangkiti akan mengalami symptom sehingga hari ke 11. Dengan pengetahuan yang terbaru ini, mungkin kita boleh mencadangkan supaya tempoh kuarantin terhadap sesiapa yang disyaki terdedah kepada pesakit COVID 19 (Person under investigation-PUI) dipendekkan kepada 11 hari sahaja daripada 14 hari. Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang dalam masa 3 hari tersebut.

Banyak kajian-kajian juga mendapati walaupun pesakit di dalam tempoh inkubasi dan masih lagi tiada tanda- tanda seperti demam dan batuk, mereka ini sebenarnya boleh dan telah menyebarkan virus ini kepada orang lain. Sebab itulah ramai pakar-pakar perubatan tidak bersetuju proses penyaringan di pintu masuk negara dengan hanya menggunakan jangka suhu (temperature) semata-mata kerana kita mungkin terlepas penyebar virus yang tiada tanda-tanda (asymptomatic) tetapi telah menyebarkan virus tersebut kepada orang yang berdekatan dengannya.

Alhamdulillah, kerajaan kita telah mewajibkan semua pemastautin luar yang ingin pulang ke Malaysia hendaklah menjalani kuarantin selama 14 hari dahulu di pusat pusat kuarantin yang digazetkan dan tiada lagi kuarantin di rumah selepas pengajaran daripada kes-kes sebelum ini. Cuma, mungkin kuarantin itu boleh dipendekkan kepada 10 atau 11 hari sahaja dengan adanya perkembangan yang saya ceritakan di atas.

Sampai disini dahulu. Saya akan update lagi dari semasa ke semasa.

Dr Nizam

Senior Consultant Physician, Poliklinik Pakar Marissa

Bandar Baru Bangi