COVID 19 (Pencegahan)

Gala Yuzawa Ski Area, Japan

Seperti yang dipesan oleh Perdana Menteri kita, Allah tidak akan membebankan seseorang jika tidak termampu olehnya. Allah juga menjanjikan dalam Surah Insyirah ayat 1- 8 dimana setiap kesulitan akan ada kemudahan. Insya Allah wabak ini akan reda juga suatu hari nanti. Itu janji Allah.

Memang diakui sehingga kini, terdapat beberapa jenis ubat yang telah digunakan untuk merawat virus Corona tetapi hasilnya masih lagi tidak memberangsangkan. Di antaranya adalah seperti Kaletra, Chloroquine, Hydroxychloroquine, Remdesivir, Avagan (Favipiravir), Serine Protease Inhibitor dan sebagainya. Saya akan menerangkan ubat-ubatan ini dengan lebih teliti pada masa-masa akan datang.

Untuk artikel kali ini, saya akan mencadangkan apakah langkah-langkah pencegahan yang perlu dilakukan oleh seseorang daripada jangkitan Covid 19. Bak kata pepatah, mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Prinsip pencegahan ialah dengan menguatkan sistem imunisasi kita sendiri.

Pertama, sistem imunisasi kita perlukan tidur yang cukup iaitu di antara 6 hingga 8 jam untuk menjadi sempurna. Tidur yang kurang iaitu < 6 jam sehari menyebabkan badah menjadi letih dan lesu. Kajian mendapati bagi seseorang yang tidak cukup tidur, beliau lebih terdedah kepada jangkitan kuman.

Kekalkan berat badan yang ideal iaitu BMI di antara 19 hingga 24. Kajian kematian terhadap pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) mendapati, pesakit yang obese mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi berbanding pesakit yang kurus. Manakala, pesakit yang kurus kering pula yang BMI < 18 juga lebih mudah mendapat penyakit.

Bersukan 30 minit, 5 kali seminggu juga dapat menguatkan sistem imunisasi kita. Kita akan merasa lebih bertenaga apabila bersukan. Jika tidak dapat bersukan kerana Perintah Keluar Rumah (PKP), apa yang boleh dilakukan adalah menolong isteri menyapu dan vacuum rumah selama 30 minit, ataupun membersihkan bilik air ataupun tingkap rumah. Ini kerana tenaga yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti ini lebih kurang sama kalori pembakarannya dengan bersenam 30 minit. Selamat mencuba dan membantu isteri di rumah.

Seterusnya, makanlah makanan yang seimbang yang mengandungi 50% karbohidrat, 30% protein dan 20% lemak serta sedikit sayuran dan sehiris buah pada setiap hidangan. Jangan lupa juga untuk memperbanyakkan minum air. Terdapat kontroversi baru-baru ini dimana kenyataan yang mengatakan minum air suam dapat membunuh kuman Covid 19. Sebenarnya, ianya betul untuk rawatan kelegaan sakit tekak. Memang diakui di dalam Jurnal perubatan, salah satu kaedah untuk mengurangkan sakit tekak semasa demam selsema adalah dengan banyakkan meminum air. Logik sahaja sebenarnya dan saya bersetuju dengan pendapat tersebut. Cuma virus Covid 19 adalah virus yang amat spesifik iaitu ia akan memasuki badan pesakit melalui receptor specific yang ada didalam badan kita iaitu receptor ACE 2. Receptor ACE 2 ini pula terdapat dengan banyaknya di dalam paru-paru kita daripada di tekak. Jadi tiada salahnya meminum air jika sakit tekak. 

Seterusnya, terdapat banyak kajian tentang pengambilan supplemen untuk menguatkan sistem tubuh dari jangkitan demam selsema. Bagi orang tua, pastikan kandungan kalsium dan vitamin D cukup dalam badan. Jika tidak cukup ambil lah suplemen kalsium sebanyak 1000 mg hingga 1200 mg sehari dengan meminum susu (mengikut sukatan yang disyorkan pada lebel setiap jenis susu) dan juga mengambil supplement vitamin D dalam dose 800 IU sehari. Bagi seseorang yang sihat pula, terdapat satu kajian Metanalysis yang dikeluarkan oleh British Medical Journal (BMJ)  mengatakan pengambilan Vitamin D pada dos yang rendah iaitu < 800 IU setiap hari dapat mengurangkan risiko jangkitan batuk selsema. Kita juga perlu terdedah pada matahari sekejap iaitu di antara 10 minit hingga 30 minit setiap hari (mengikut warna kulit) untuk mengaktifkan vitamin D di bawah kulit.

Dan yang terakhir bagi artikel kali ini, sentiasa lah berwuduk dan berkumur dengan air bila berwuduk kerana ini juga dapat mengurangkan risiko batuk selsema dan telah dibuktikan oleh Professor-Professor di Jepun dalam satu kajian scintifiknya. Dalam kajian tersebut mereka yang berkumur 3 kali sehari dapat mengurangkan risiko batuk selsema. Alhamdulillah, bagi orang Islam, walaupun disunatkan tetapi berkumurlah sekurang-kurangnya 5 kali sehari semasa berwuduk. Bukannya susah sangat pun. Bagi memasukkan sedikit air ke dalam rongga hidung sebelum menghembuskannya keluar seperti disunatkan di dalam Wuduk, setakat ini tiada lagi kajian scientifik dilakukan. Bagi sayalah, prinsip yang mudah adalah jika ianya disunatkan di dalam Islam, maka mestilah terdapat kelebihan di sebaliknya yang para scientis tidak mengkajinya lagi.

Semoga berjumpa lagi di update yang akan datang.

Dr Nizam

Senior Consultant Physician, Poliklinik Pakar Marissa

Bandar Baru Bangi